CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Monday, March 8, 2010

Sejernih dan semurni air susu...

"Ikhlas adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya.Ia tida diketahui malaikat, sehingga ia tiada kuasa menuliskannya. Tiada pula diketahui syaitan, sehingga ia tiada kuasa merosakkannya." -Al Junaid

Ikhlas merupakan rahsia yang hanya di ketahui pemiliknya dan Allah s.w.t semata. Maka, tatkala seorang hamba merasa ingin menangis dan hatinya berdetak kencang untuk melakukan ketaatan, itulah detik-detik munculnya keikhlasan. Jika semalam kita merasa menunaikan solat sesuatu yang membebankan, sehingga terasa ingin sahaja ditinggalkan. Tetapi keesokan harinya, kita merasa begitu tenang dan bahagia, malah walaupun terpaksa mengerjakan solat di tepi-tepi jalan, maka inilah tanda keihklasan! Tatkala orang memandang pelik ke arah kita lantaran pergerakan kita, namun yang ada dalam hati hanyalah 'solatku hanyalah untukMu, cukuplah Engkau sebagai saksiku'.

"Dan cukuplah Allah sebagai saksi..."(Al-Fath:28)


Mari sama-sama kita amati perumpamaan indah tentang keikhlasan yang Allah ceritakan dalam Al-Quran.

"Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu benar-benar terdapat pelajaran bagi kamu. Kami memberimu minum daripada apa yang berada dalam perutnya(berupa) susu yang bersih antara tahi dan darah, yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya." (An-Nahl:66)

Allah mengatakan,"Bagi kalian dalam binatang ternak itu terdapat ibrah(pengajaran) yang menakjubkan." Cuba kita fikirkan apakah ibrah yang Allah maksudkan itu? Dalam ayat tersebut, Allah ceritakan air susu keluar dari binatang ternak, iaitu antara tahi dan darahnya.Dan air susu yang keluar itu bersih dan menyegarkan,mudah ditelan oleh peminumnya. Pernahkah kita memeras air susu, lalu ia tercampur dengan setitis darah? Tidak mungkin air susu itu tercampur dengan air seni bukan? kerna kita pasti tidak mahu meminumnya sekiranya ia bercampur dengan bahan lain...subhanAllah!indahnya ciptaan Allah.Renungkan bagaimana bersihnya air susu itu, begitu bersih, begitu murni. Sahabatku, begitulah juga dengan keikhlasan kita. Bagaimana bersihnya 'susu yang murni' (labanan khalishan), maka demikianlah juga ikhlas dalam beramal. Ia perlu bersih dari segala campuran. Malulah kita dengan Allah. Dia telah memberikan kita sesuatu yang murni, kenapa kita perlu memberiNya amal yang tercampur? Ikhlaskanlah hati kita. Bersihkanlah amal kita dari segala macam campuran...hanya untuk Dia yang SATU.

"Amal ini tidak untuk sesiapapun kecuali Engkau, ya Rabbi. Sejernih dan semurni air susu."

Ikhlas memang sesuatu yang sulit dan berat. Bayangkan, kita harus memurnikan semua sisa hidup kita dari segala campuran. Dari yang kita rahsiakan atau yang kita tampakkan, semata-mata ikhlas keranaNya.

Katakanlah:"Sesungguhnya solatku,ibadahku,hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya, dan demikian itulah yang diperintahkan padaku...."'(Al-An'am:162-163)

Imam Sufyan Ats-Tsauri rahimallah pernah berkata,"Tidaklah aku mengubati sesuatu yang lebih berat dari niatku."Maksudnya sesuatu yang paling berat untuk diubati adalah qalbu(hati), kerna ia mudah berubah-ubah. Teringat saya kepada kata-kata seorang ustaz di sekolah dulu,"Penyakit yang paling sukar untuk diubati adalah penyakit HATI."
Dari hatilah juga datangnya niat. Jika hati itu bersih dan dekat dengan Penciptanya, maka lahirlah niat yang suci yang menzahirkan keikhlasan seseorang hamba dalam beramal.

"Sesungguhnya semua amal itu dengan niat. Dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang ia niatkan. Barangsiapa hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu untuk Allah dan RasulNya. Dan barang siapa hijrahnya kerana dunia atau wanita, maka hijrahnya itu untuk apa yang ia berhijrah kerananya."(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabatku, marilah sama-sama kita memperhatikan dan memperbaharui niat dalam setiap amal kita. Kerna pintu gerbang keikhlasan adalah niat. Seorang salaf mengatakan, "Pelajarilah niat kalian, sebagaimana kalian belajar ilmu." Dalam menuntut ilmu, kita seharusnya memikirkan mengapa kita belajar!Kita mungkin menjawab,"Saya belajar agar tidak dimarahi orang tua...saya belajar untu berbakti kepada negara."Namun, cubalah untuk mengatakan,

"Saya akan belajar, kerana orang soleh tidak layak gagal. Sehingga saya tidak mencoreng muka orang mukmin nan soleh.."
"Saya akan belajar kerana sampai sekarang yang menokhdai dunia adalah orang kafir, orang fasik. Maka kini tiba giliran salah satu dari orang soleh memimpin dunia..."
"Saya akan belajar hingga saya memiliki kedudukan terhormat di kalangan masyarakat, lalu saya akan menyeru manusia kepada Allah s.w.t.."

Mungkin agak berat bagi kita untuk memikirkan niat kita menuntut ilmu sehingga ke tahap tersebut. Namun, kiranya hati kita hanya ada Allah, setiap ibadah hanya dilakukan keranaNya. Tidak rugi untuk kita berniat baik bagi setial amal kita terutama sekali ketika belajar kerna dengan niat itu, setiap goresan pena atau pandangan mata pada kitab(buku) akan menerima pahala. Indahnya agama ini, mengubah adat kebiasaan menjadi suatu ibadah. Kekadang selama 2 jam kita mentelaah, tiada satupun yang kita pelajari atau fahami, tetapi saat niat itu datang, lahirlah ikhlas, terbitlah redha, maka jadilah hati yang rajin...insyaAllah.
Marilah sama-sama kita pelajari niat!Kerna dengan niat datanglah keikhlasan. Dengan mengikhlaskan diri, maka bersihlah amal kita dari tercampur dengan 'bendasing' lain, saat itu jadilah amal kita sebersih dan semurni air susu.



p/s: untuk berbicara tentang ikhlas bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan masa kerana ia suatu yang berat dan sulit....saya juga masih dalam proses memurnikan amal saya semurni air susu^_^...insyaAllah jika ada berkesempatan akan saya kongsi lagi di sini...

No comments:

Post a Comment

Doakan untuk Teja

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

click to create your own